Pages

Thursday, 12 October 2017

Ibrah Dari Sebuah Kematian

Pagi 6 Oktober 2017.

Hari Jumaat. Kami bangun seperti biasa, solat subuh lalu menyiapkan anak yang nak ke sekolah. Henfon kebetulan habis bateri maka saya tinggalkan untuk di caj.

Lepas suami menghantar anak sulung ke sekolah, dia menyiapkan anak kedua pula. Sambil itu, dia memeriksa mesej whatsapp dalam henfon.

"Siapa yang masuk hospital?" tanyanya tiba-tiba. Saya mula hairan lalu membalas dengan pertanyaan juga.

"Kenapa? Siapa masuk hospital?"

"Ni Kak Fizah mesej mintak tolong ni kenapa?"

"Haa?" saya tiada jawapan. Beberapa minit kemudian whatsapp suami berbunyi lagi. Lalu saya membaca mesej,

'Abg dah xde'

Saya jadi blur. Apa yang berlaku? Lalu terus suami menelefon kakak ipar saya.

Kakak akhirnya mengesahkan abang sulung saya, iaitu suaminya telah meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihi rojiun.

Saya macam tak percaya dan semakin blur. Namun kami bergegas bersiap untuk ke Jengka; ke rumah kakak dan abang saya itu.

Semasa kami sampai di Jengka, jenazah masih di hospital. Kami tidak terus ke rumah sebaliknya terus menuju ke hospital. 

Pada masa ini kami dapati agak ramai yang menunggu di luar Unit Forensik Hospital Jengka. Kemungkinan besar rakan sekerja dan jiran abang saya. Kami mencari kelibat adik beradik yang lain akhirnya ternampak adik lelaki dan anak saudara berada di hadapan pintu unit forensik itu.

Saya tidak keluar dari kenderaan, kerana bersama bayi dan anak yang lain, cuma suami yang keluar berjumpa mereka. Dari jauh saya nampak kelibat kakak ipar sedang sibuk menguruskan sesuatu.

Doktor sedang membuat pengesahan mengenai punca kematian. Prosedur memakan sedikit masa kerana doktor berusaha untuk mengenal pasti dengan tepat punca kematian arwah abang. 

Ya, arwah abang meninggal dunia tanpa sebarang penyakit pun semasa hayatnya. Pemergiannya secara tiba-tiba iaitu sedang duduk di sofa berbual dengan kakak ipar sementara menunggu anak bongsunya bersiap untuk ke sekolah. 

Tiba-tiba dia bersandar di sofa, lalu menarik nafas terakhirnya. Sangat mudah!

Benarlah, kematian itu tidak menunggu kita muda atau tua, sihat atau sakit, sudah bertaubat atau belum atau sedang buat apa.

Kun faya kun. Jadi, maka jadilah.

Berita-berita kematian dari kalangan ahli keluarga terdekat ini begitu menjentik dan menggetarkan hati saya. Saya sangat takut!

sebuah perkampungan sunyi...hanya amal soleh peneman kita

Kematian itu adalah penasihat terbaik bagi yang hidup

Setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian.

Waktu kita pun sudah tertulis sejak roh kita berada di Luh Mahfuz lagi. Cuma kita saja yang tidak tahu entah bila.

Maka wajarlah kita mengambil pengajaran dari berita-berita kematian yang sampai kepada kita. Kerana tidak lama lagi mungkin  giliran kita pula. 

1. Jangan suka menangguh

Tabiat kita ni suka menunda-nunda jika nak buat sesuatu. Dengar azan berkumandang, kejap lagilah solat. Nak bertaubat dari maksiat, tunggulah dah masuk umur 40 nanti. Nak bersedekah, tunggulah kaya nanti. Nak tutup aurat, alaaa muda lagi, tunggulah tua sikit.

Ada hutang nak bayar, tunggulah ada duit sikit lagi (tapi bila orang berhutang dengan kita pandai pula nak cepat). Suruh kerja kuat-kuat supaya boleh kaya waktu muda, muda-muda kena enjoy dulu katanya.

Semuanya tunggu. Teringat pula lagu Syamsul Yusuf, Kalah Dalam Menang (OST filem Munafik).

Mulai hari ni, jangan lagi bertangguh. Terus buat apa yang kita nak buat kerana di bimbangi jika menunda-nunda, terus tak sempat.

2. Berkerja dengan tekun dan gigih

Semakin kita tahu bahawa ajal makin menghampiri, sepatutnya semakin gigih kita bekerja. Kerja tu satu ibadah jika buat kerana Allah. Lagipun kita bekerja sebab tak nak tinggalkan anak-anak, keluarga, waris kita dalam keadaan miskin meminta-minta.

Tinggalkanlah mereka dengan bekal secukupnya.
“ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)
Nak kiamat pun Nabi suruh tanam kurma lagi. Ikut logik kita apa relevannya, kan?  Ini menunjukkan betapa penting dan perlunya kita bekerja dengan gigih dan sabar. Buat kerja kita, biar Allah buat kerjaNya.

3. Melakukan kebaikan

Kerana kita tak tahu bila nyawa akan putus dari jasad kita, buatlah kebaikan sebanyak mungkin. Jaga silaturrahim, jaga percakapan dan perbuatan, jangan mengumpat atau memburukkan orang lain, jangan buka aib orang, teruslah bersedekah dan memberi selagi mampu.

Teruslah juga melakukan amal-amal soleh untuk mengumpul bekal dan pahala untuk ke sana nanti.

Kadang-kala, bila terlalu seronok dengan kehidupan, Allah sampaikan berita kematian ke telinga kita, untuk kita insaf, muhasabah diri dan kembali semula kepadanya.

Perbanyaklah kalian mengingat pemutus kelezatan (yakni kematian). 
(HR. At-Tirmidzi no. 2307, An-Nasa`i no. 1824, Ibnu Majah no. 4258. Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullahu berkata tentang hadits ini, “Hasan shahih.”)
 Semoga penulisan ini juga akan jadi saham untuk saya nanti. Amiin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...