Pages

Friday, 9 June 2017

Bagaimana Menghadapi Fitnah Akhir Zaman

Dalam hidup ini, kita sering berdepan dengan berbagai keadaan yang menguji keteguhan hati dan iman kita. Salah satunya ialah fitnah.

Fitnah boleh datang dalam pelbagai bentuk. Fitnah terhadap diri kita sendiri, fitnah terhadap keluarga kita, fitnah terhadap organisasi kita, agama kita dan sebagainya. 

Dan boleh jadi juga kita sendiri membaca atau mendengar cerita atau berita-berita yang kita tidak tahu dan tidak pasti sejauh mana kebenarannya.


Allah S.W.T dah memberi peringatan kepada kita mengenai fitnah,

"Dan peliharalah dirimu daripada fitnah yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah, Allah amat keras siksaannya"
-QS 8:25

Apabila di namakan fitnah, sudah pasti berita yang keluar itu tidak benar sama sekali.

Jika diri di landa fitnah, apa boleh kita lakukan?

1. Sabar dan berdiam diri

Allah menyukai orang yang sabar, dan berdiam diri bukan bermakna kita mengiyakan, bukan juga kerana kita kalah. Tetapi kita tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. 

Apabila kita sendiri tahu bahawa berita itu tidak benar, maka senyum saja! 

Fitnah direka oleh mereka yang mungkin tak suka kita atau apa yang kita buat, dan mereka juga mungkin tak kenal kita. 

Sabar pada saat pertama menunjukkan iman kita ini kuat dan tidak termakan pujukan syaitan yang ingin memecah-belahkan manusia. 

2. Tidak membalas semula

Percayalah, walau macam mana kita cakap untuk membela diri kita, mereka tetap akan mengorek hingga berjumpa kesalahan lain pula. Haters always gonna be haters!

3. Teruskan hidup seperti biasa

Walaupun hati kita dah sedikit tercalar sebab fitnah, ingatlah, itu semua ujian dari Allah yang ingin melihat sejauh mana tahap iman kita. 

Banyakkan zikir dan berdoa supaya hati lebih tenang. Takkan berlaku sesuatu tu tanpa izin Allah. Allah menguji dan Allah juga yang akan beri jalan penyelesaiannya.

4. Bersatu dalam jemaah

Fitnah boleh jadi ujian kesetiaan. Apabila di landa fitnah sesuatu organisasi itu boleh runtuh jika ada ahlinya yang mula berpaling dan meninggalkan jemaah. 

Apabila Islam di fitnah, bagaimana sikap kita? Apabila ahli keluarga kita di fitnah, bagaimana sikap kita? 

Muhasabah diri semula. Mungkin ada yang silap dalam organisasi kita.

Bagaimana pula kalau kita yang mendengar berita-berita tidak pasti ni?

1. Selidik dahulu

Allah berfirmaan, jika sampai satu berita kepada kita, selidiklah dahulu dengan teliti supaya kita tidak menimpakan musibah atas sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang akhirnya kita menyesal sendiri atas perbuatan kita itu. QS Al-Hujurat: 6.

Tanyalah pada yang kena fitnah bukan terus main sebar saja cerita yang kita tidak tahu benar atau salah. 

2. Bersikap adil dan tak berlebih-lebihan

Sekalipun kita tak suka kepada orang yang di fitnah, tak perlulah kita pula menjadi batu api atau menokok tambah cerita mengadu domba. 

"Hai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan keadilan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"
-QS 5:8

3. Berdiam diri

Adalah lebih baik kita hanya diam dan tak perlu mengomen apa-apa. Boleh jadi persepsi kita terhadap sesuatu itu salah, sedangkan yang benar berlaku adalah sebaliknya. 

Jika terlalu banyak berkata-kata di bimbangi timbul fitnah lain pula. Nauzubillah.

Semoga iman kita sentiasa teguh, dan semoga Allah sentiasa pandu kita setiap saat dan masa. 


"اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ"

"Ya Allah, rahmat-Mu yang kuharapkan. Maka janganlah Engkau jadikan aku bergantung kepada diriku sendiri, walaupun hanya sekejap mata. Dan perbaikilah seluruh keadaanku. Tidak ada yang berhak diibadahi melainkan Engkau." 
-Do'a dari hadis shahih riwayat Abu Dawud.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...